LATAR BELAKANG KOLEJ KOMUNITI ARAU DAN KOLEJ KOMUNITI CAWANGAN KANGAR

Kolej Komuniti ialah institusi yang menawarkan pembelajaran dan latihan dalam bidang kemahiran atau TVET (Technical and Vocational Education and Training). Kolej Komuniti Arau, Perlis (KKAP) telah ditubuhkan pada 12 Jun 2001 dengan menjalankan dua (2) kursus sepenuh masa iaitu Sijil Pelukis Pelan Senibina dan Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan). Pada awal penubuhan, KKAP menumpang beroperasi di Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis sementara menantikan bangunan tetap di Tambun Tulang, Perlis untuk siap.

Pada bulan November 2005, KKAP telah berpindah ke bangunan tetap di Jalan BN (sekarang Jalan Tengku Budriah). Pada masa itu, KKAP menjalankan tiga (3) lagi kursus sepenuh masa iaitu Sijil Komputer dan Sokongan, Sijil Fesyen dan Pakaian dan Sijil Pemprosesan Kawalan Mutu Makanan. Julai 2007, KKAP menawarkan Kursus Diploma Teknologi Elektrik untuk pelajar kolej komuniti lulusan Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan).

Sebelum ini, KKAP kini telah menyewa dua lot premis rumah kedai yang diubahsuai untuk memenuhi keperluan fizikal program Kursus Pendek. Premis ini disewa sejak Julai 2009 di Jejawi lebih kurang 7 kilometer dari kampus di Tambun Tulang.

Sehingga tahun 2012 KKAP masih lagi menawarkan lima (5) program sepenuh masa di peringkat sijil. Program diploma tidak lagi ditawarkan dan digantikan dengan Sijil Modular Kebangsaan (SMK) iaitu SMK Pemasangan Elektrik. Kursus-kursus lain menyusul selaras dengan saranan kerajaan bagi mengukuhkan lagi Kolej Komuniti.

Kolej Komuniti Arau telah dipersijilkan MS ISO 9001:2000 pada 30 Ogos 2006 hingga 29 Ogos 2009. Seterusnya memperoleh sijil MS ISO 9001:2008  dari 21 Mei 2010 hingga 20 Mei 2016, kini bertukar ke  ISO 9001:2015 mulai 21 Mei 2016 hingga sekarang.

Satu transisi penawaran baharu bermula Julai 2013 mengubah syarat kemasukan yang berdasarkan keperluan pengiktirafan program sijil yang digariskan oleh MQA. Pengambilan pelajar baharu adalah sebanyak tiga (3) kali setahun iaitu pada Mac, Julai dan November. Permohonan kemasukan disediakan dalam tiga (3) cara mudah iaitu :

  • Permohonan melalui system UPU, Kementerian Pendidikan Malaysia
  • Permohonan melalui e-pengambilan, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti
  • Permohonan dengan mengisi borang di kaunter Pembangunan Pelajar di Kolej Komuniti Arau

 

Kini, KKAP menawarkan lima (6) bidang Sijil Kolej Komuniti (SKK) iaitu,

  • Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian (MQA/FA7459)
  • Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan (MQA/FA7460)
  • Sijil Teknologi Senibina (MQA/FA7458)
  • Sijil Fesyen dan Pakaian (MQA/FA2886)
  • Sijil Teknologi Elektrik (MQA/FA2401)

*ditawarkan di Kolej Komuniti Caw. Kangar

  • Sijil Asas Pemprosesan Makanan (Masalah Pembelajaran)

 

Yurang pengajian serendah RM200/semester dengan syarat kemasukan bagi SEMUA program ialah,

  • Warganegara Malaysia
  • LULUS Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan

*tidak buta warna bagi program Sijil Teknologi Elektrik

 

Bantuan kewangan disediakan RM1800 bagi pelajar yang layak.

 

Pada April 2018, Kolej Komuniti Cawangan Kangar (KKCK) telah ditubuhkan dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris bin Jusoh. KKCK hanya menawarkan Sijil Teknologi Elektrik buat masa ini. Kolej ini terletak di Pusat Bandar Kangar dan menyediakan kemudahan lengkap untuk pembelajaran TVET dalam bidang Teknologi Elektrik. 

 

Unit Pendidikan Berterusan

Kolej Komuniti Arau dan Kolej Komuniti Cawangan Kangar menawarkan pelbagai Kursus Latihan Khas Akaun Amanah kepada semua lapisan masyarakat setempat, industri dan agensi kerajaan di bawah konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk manfaat setiap individu dan organisasi seperti:

 

  • Meningkatkan Kemahiran (Upskilling)
  • Melatih Semula Kemahiran (Reskilling)
  • Menambah ilmu Pengetahuan
  • Hobi
  • Memberi Nilai Tambah Kepada Produk/Perkhidmatan (Added Value)
  • Mendapatkan Pendedahan Terhadap Perkembangan Pasaran Dan Permintaan Pengguna
  • Meningkatkan Produktiviti

 

 

Selain kursus sepenuh masa seperti di atas, KKAP dan KKCK juga menawarkan kursus-kursus pendek di bawah Unit Pendidikan Berterusan termasuklah kursus-kursus.  Kursus pendek disediakan untuk manfaat komuniti bagi meningkatkan kemahiran (upskilling), melatih semula tenaga manusia (reskilling), menambahkan pengetahuan, memberi nilai tambah kepada produk/perkhidmatan dan lain-lain lagi.

Yuran hasil ialah minima RM5.00 dan yuran tambahan tertakluk pada kos bahan dan keperluan yang berkaitan mengikut kursus yang disertai. Kursus pendek terbahagi kepada tujuh (7) kluster iaitu :

  1. Katering dan sajian
  2. Jahitan dan pakaian
  3. Grafik & Multimedia
  4. Teknologi Elektrik
  5. Komputer & Teknologi Maklumat
  6. Pengajian Am
  7. Bangunan dan Senibina

KKAP merupakan hab pembelajaran sepanjang hayat yang ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi kerajaan untuk memudahkan komuniti akses kepada pendidikan.

 

Syarat Kelayakan

Kursus-kursus Latihan Khas Akaun Amanah yang ditawarkan terbuka kepada semua yang berminat tanpa mengira had umur dengan syarat seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Sihat Tubuh Badan

 

Yuran Penyertaan

Yuran Penyertaan Minima bermula dari RM 5 dan Yuran Tambahan tertakluk pada kos bahan dan keperluan yang berkaitan mengikut kursus yang disertai.

Tawaran untuk mengikut kursus akan dibuat apabila bilangan peserta mencukupi (Minimum 15 Orang Setiap Kelas)

 

Cara Memohon

Kepada yang berminat untuk memohon Kursus Latihan Akaun Amanah yang dianjurkan, sila hubungi:

Kolej Komuniti Arau, Tambun Tulang (04-9869800) dan talian Unit Pendidikan Berterusan iaitu, 014-2550708